October 12, 2009

Konvokesyen: Apa Ada Hal....

Salam... ukhuwwah fillah...

Terlalu banyak kerja tertangguh, terlampau banyak perancangan yang menunggu hari nak dijalankan, terasa tak cukup tangan dan kaki. Assignment berbaki lapan, seminar belum tahu kepastian, final exam kian menjelang, hari menyarung jubah dan melambung topi tak sabar dinantikan, banyak sangat perkara perlu di-delay-kan. Lagi banyak perkara yang terawang-awang dalam fikiran, terlintas hendak di-post-kan tapi belum kesampaian. Review novel Love Lives, update kisah beraya sehari dan terperangkap di Alamanda, al-kisah review Papadom, terlalu banyak. Antara faktor penghalang, tentunya masa yang sentiasa padat dan mampat. Capaian internet pun jarang² juga, bergantung pada ihsan rakan², nanti-lah ada fulus atau mungkin tajaan sesiapa, ber-jalur wayar lebar-lah hendaknya. Amin...

Tadi siang ke Dewan Sri Budiman atas urusan pengambilan jubah. Seronok tak terkira merasa menyarung jubah di badan. Tapi terdetik pula sesal sedikit, kalau tak kecundang nan satu kali yang penuh celaka dulu, pasti lengkap jubah yang dipakai berselempang agaknya. Angan-angan... tapi tak apa-lah, dapat tamatkan diploma dengan jaya pun, rezeki dari Dia yang tak terhingga syukur sudah.

Tapi masa taklimat, ramai yang tersentap. Kami diberitahu nanti masa hari kejadian nanti, nama setiap graduan tak akan disebutkan dan hanya akan dipapar di muka skrin. Alasannya, istiadat kali ini mencatatkan bilangan graduan paling ramai, sekitar 20,000 orang, jadi faktor masa menjadi kebimbangan. Apa punya F...?? Ramai yang menyumpah, memaki dan sebagainya. Bukan itu saja, setiap yang datang dimestikan (di-WAJIB-kan) memakai topeng penutup mulut dan hidung sebagai langkah berjaga-jaga mencegah H1N1. Apa punya F...??? Ibu bapa pun tak terkecuali, kalau tidak, tak dibenarkan sama sekali menyertai upacara istiadat konvokesyen.

Graduan dimestikan memakai topeng seorang satu. Masa istiadat berlangsung wajib dipakai setiap masa dan apabila sampai giliran menerima skrol, topeng boleh ditanggalkan dan dibuang, kemudian lepas turun dari pentas, akan disediakan topeng lain dan harus dipakai semula. Aduhh... langkah berjaga-jaga sampai begitu, pada hari bersejarah para graduan tamat pengajian? Tak setuju. Dan ramai lagi di luar sana yang turut membantah. Percaya-lah.

Pula lagi, makanan dan minuman untuk ibu bapa tidak disediakan. Malah, gerai-gerai makanan di kawasan sekitar DSB juga tidak disediakan. Mampus, nak suruh mak bapak graduan semua berlapar sampai habis acara? Tepuk dahi...

Apa pun protes yang tersuara, hari itu akan tetap tiba. Pesanan awal kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang akan hadir, sila isi perut awal-awal pagi pada hari kejadian nanti untuk mengelakkan gejala kebuluran dan amuk.

** Tiba harinya nanti, kalau mak aku bawa bakul berkelah siap tikar mengkuang dengan pinggan mangkuk, jangan tanya kenapa...

Erm...

Selamat ber-konvo-lah!

October 8, 2009

Kelmarin : Peristiwa Blog + Book = Blook

Salam... ukhuwwah fillah...

Agak terlewat sedikit penulisan ini (maaf berbahasa formal, ini laporan rasmi ala blog post - ya, sememangnya).

Malam Isnin lalu, bertarikh 5 Oktober 2009 berlokasikan Studio Pancha Delima, Bangunan Akademik UiTM Puncak Perdana telah berlangsung satu sesi dialog Blog + Book = Blook. Kehadiran audiens yang cukup menggalakkan walaupun agak suam-suam kuku pada awalnya begitu memberangsangkan dengan topik perbincangan yang begitu menarik.

Barisan panel yang diundang adalah saudara Ajami Hashim, Dr. Zulkifli Mohamad dan saudara Nazri M. Annuar atau lebih dikenali sebagai Vovin. Setiap panel berdiri teguh di atas paksi pendapat masing-masing namun akhirnya berharmoni dalam suasana Hari Raya yang masih lagi terasa bahangnya.

Perbalahan intelektual yang mesra antara mereka nyata memeriahkan suasana diskusi dan penglibatan audiens secara aktif juga membantu menghangatkan lagi topik yang dibincangkan. Hujahan oleh saudara Ajami Hashim lebih dilihat bersifat provokatif namun ditangkis dengan gaya ilmiah pula oleh Dr. Zul. Walau bagaimanapun, saudara Vovin tampil sebagai peneutral antara percakaran pendapat kedua-dua panel tadi, mewujudkan suasana meriah, humor dan santai di studio kecil tersebut. Saudara moderator atau nama panggilan manjanya Vitamin begitu bijak mengelola majlis, menjadikannya begitu santai tetapi penuh ilmiah. Tindakan beliau mengajukan soalan spontan kepada beberapa pensyarah seperti En. Norman Yusof dan En. Abdul Ghafar Ibrahim (Ayah Agi) ternyata mengundang respon yang pelbagai dan menambah lagi kemeriahan diskusi.

Kejayaan penganjuran sesi dialog yang dilaksanakan atas tujuan penilaian subjek CTA 572 - Digital and New Media Theory ini dilihat sebagai satu pencapaian membanggakan setelah jawatankuasa pengelola yang terdiri daripada kalangan pelajar secara total mampu membangkitkan isu menarik dan penting terhadap keberadaan kita dalam zaman serba membangun kini. Terima kasih kepada semua yang terlibat, yang hadir sama ada lambat mahupun cepat. Setinggi-tinggi penghargaan kepada En. Aidi Rahimi selaku pensyarah subjek merangkap penasihat projek yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan bantuan. Juga kepada para pensyarah yang hadir - Pn. Norlela Ismail, En. Ezwan Mokhtar dan Cik Hajar Aznam. Terima kasih juga kepada pemblogos-pemblogos yang sudi hadir - Cik Fazleena Hishamuddin, saudara Pipiyapong, saudara Fadz dan selebihnya. Terima kasih kepada semua, maaf andai ada nama yang tidak disebut.

Kupasan isu yang wajar diberikan perhatian ini benar-benar membuka mata dan minda para hadirin pada malam tersebut. Pelbagai pendedahan baru tentang perkembangan dunia teknologi dapat dikongsi bersama. Berkemungkinan pada masa hadapan, akan dianjurkan pula sesi dialog Blog + Book + Blook = Flook yang dijangka menjanjikan pertelingkahan dan perkongsian ilmu yang lebih meriah dan bermanfaat.

Terima kasih sekali lagi.



** Dah lama tak menjadi pengerusi majlis, gugup juga rasanya. Maaf kepada semua andai ada cacat cela sepanjang majlis berjalan, kalau ada keterlanjuran kata dan kejanggalan bahasa, ampun maaf dipinta... Akan diperbaiki pada masa hadapan...


Yeddey...!!


~0^_^0~

October 5, 2009

Get a Cursor! ZingerBug.com - Comments, glitter graphics, cursors, and more!