Salam ukhuwwah fillah...
Minggu-minggu terakhir Oktober ni memang cabaran terbesar dalam fasa pembelajaran aku di sini. Kesibukan yang maha hebat ni belum pernah aku rasai, sehinggakan kekangan masa yang tercetus antara kekalutan menyelesaikan tugasan, menjayakan program dan menelaah untuk final exam yang dah tak sabar-sabar nak bermula. Keadaan ini betul-betul buat aku tidak berkesempatan untuk buat apa pun, termasuklah mempromosi majlis Ceritera Puisi yang baru selesai berlangsung tadi. Penganjuran majlis ini adalah sebagai memenuhi sebahagian penilaian subjek Teori dan Praktis Penulisan (CTW 413). Alhamdulillah semuanya berjalan lancar seperti dirancangkan. Syukur kepada Tuhan yang mempermudahkan perjalanan majlis tanpa sebarang masalah major yang mencacatkan (selain moderator first-timer merangkap yang kalut mengendali majlis supaya tidak ketandusan diskusi menarik. Maaf atas segala kekurangan dan keterlanjuran bahasa yang mungkin tidak disedari. Baru belajar!)
Atas faktor kekangan masa juga, aku telah melakukan kesalahan paling besar yang tak patut aku lakukan tanpa berfikir terlebih dahulu. Entah apa yang memupuk keberanian aku sebegitu sekali hingga menjerat diri dalam situasi lalu aku menerima padahnya. Teruk sekali tekanan masa yang aku terima (kelas padat, exam tiga jam terus tanpa henti, tidak cukup kaki tangan menghulur bantuan dan atas faktor peribadi juga). Aku berjanji takkan mengulangi perbuatan bodoh itu lagi, maaf setulus-tulusnya buat semua yang telah aku lukai.
Berbalik semula kepada majlis Ceritera Puisi tadi malam, aku mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih buat tetamu jemputan kami, Prof. Rahman Shaari yang sudi datang jauh-jauh ke bumi Puncak Perdana. Gugup kali pertama bertemu insan hebat ini. Tapi lepas berbual-bual mesra, aku dapati dia seorang yang sangat okey dan sangat sporting juga. Setelah merangka-rangka sedikit sebanyak bentuk soalan yang akan diajukan, kami beriringan menuju ke Pancha Delima bersama disertai En. Ismail Kassan, pensyarah subjek merangkap Penasihat Projek.
Dengan kehadiran penonton yang boleh dikira memuaskan, majlis bermula dengan persembahan daripada saudara Anas dan Arif mewakili kumpulan Serambi dengan lagu Irama Gaza dan Selamat Tinggal. Persembahan yang simple lagi santai itu tetap gempak dan menghiburkan, lebih-lebih lagi dengan gaya bersahaja Anas dan vokal mantap Arif. Persembahan pembukaan disambung lagi dengan deklamasi sajak yang penuh bersemangat oleh Nurulhidayu dan Suraya.
Sesi diskusi diteruskan pertanyaan demi pertanyaan berserta huraian daripada tetamu jemputan, serta tidak ketinggalan ulasan daripada En. Ismail sendiri dan Ayah Agi berkenaan isu peng-indie-an penulisan sastera dalam media baru di alam maya iaitu medium internet (sikit-sikit harus-lah nak menyentuh isu blog juga... kan....) Huraian padat dan mantap daripada Prof. Rahman memberi banyak input kepada para hadirin yang rata-ratanya merupakan pelajar Jabatan Penulisan Artistik.
Prof. Rahman aku sifatkan bukan sahaja seorang penulis dan pemuisi biasa, kerana perkara yang paling menarik tentang beliau ialah beliau mengingati setiap baris puisi, tidak kira pantun mahupun sajak yang lama serta baru, tulisan beliau sendiri atau dari penulis lain. Jadi, memberi pencontohan segera malah untuk mendeklamasi puisi secara terbuka, tidak menjadi masalah kepada beliau. Aku amat kagum dengan kebolehan beliau ini, namun segera ditepisnya dengan menegaskan seseorang tidak boleh dianggap gifted dengan kebolehan sebegitu. Ia merupakan satu bentuk kemahiran yang punya cara yang semua orang berkebolehan menghafal bait puisi malah kekal pula mengingatinya.
Seperkara lagi yang agak menarik juga apabila beliau mengupas teori anjakan makna dalam penulisan. Setiap karya sastera khususnya puisi, boleh mendatangkan interpretasi yang pelbagai oleh pembaca, tidak semestinya menurut maksud yang ingin disampaikan oleh penulis semasa karya itu dihasilkan. Ini secara tidak langsung me-relate-kan aku sedikit dengan teori komunikasi sinematik, konsepnya dari sudut pemaknaan puisi sama sahaja cuma dalam konteks berbeza.
Sebagai contoh, jika penulis berbicara tentang hayat sebatang pokok, denotasi makna akan memberi makna pokok itu hanya sebagai pokok. Namun, dari sudut pandang yang lain serta konotasi maksud pokok itu dari perspektif berbeza, pokok boleh melambangkan sebuah negara dengan dahannya sebagai pemimpin manakala dedaunannya sebagai rakyat jelata yang berpaut pada pemimpin negara.
Perkongsian ilmu dalam sesi diskusi yang berlangsung dilihat sebagai satu perkembangan yang amat positif dalam usaha membuka minda pelajar ke arah penulisan sastera yang lebih baik. Persembahan deklamasi puisi oleh Prof. Rahman sendiri yang bertajuk 'Diam' amat mengesankan dan menutup majlis diskusi Ceritera Puisi dengan jayanya.
Terima kasih kepada semua yang terlibat.
Terima kasih kepada semua yang hadir.
Terima kasih kepada semua yang membantu.
Terima kasih semuanya.
Yeddey...!
~0^_^0~
2 comments:
maaf tak dapat hadir kerana berada di Balai Budaya DBP..
sori xdpt dtg..buat test animation pun da tersengguk2..penat pameran KuKuBesi kat PTAR pada paginya..
Post a Comment