November 30, 2008

Sajak Seorang Aku - Nawawee Mohammad

Salam... ukhuwwah fillah...


Audio melodia : Jason Mraz - Bella Luna
(ya... juga cadangan untuk anda sambil membaca)


Maaf atas ketiadaan post terakhir ucap selamat tinggal sebelum menge-pause-kan aktiviti blogging buat sementara waktu kelmarin. Sehingga post yang ini, memang aku betul2 berehat dan bercuti sampai tak berkesempatan meng-online-kan diri dan update semua perkara yang sudah out of date. Sekarang sedang menghadapi praktikal, so kesibukannya menjadi penghalang untuk aku menulis.

Ohh... perasan pertukaran mood ini? Ya... aku nak bernada romantis pula kali ini kerana aku akan banyak bercakap tentang puisi.

Aku sebenarnya teringat-ingat akan sebuah buku koleksi puisi yang pernah aku baca 4 tahun lalu. Aku hanya ingat tajuknya, 'Debu di Kaca, termuat dalam sebuah buku comel berwarna merah jambu. (haha... warna dan ilustrasi muka depan buku pun main peranan penting juga kan..) Penulisnya juga aku sudah lupa tetapi puisinya tajam menikam dan aku suka cara persembahan bahasanya. Bersahaja dan tidak terikat dengan nada-nada dan formaliti dalam sebuah puisi. Suara puisinya bebas bercerita tentang apa saja - luahan, kritikan, perasaan (tentunya..) dan harapan juga. Aku suka dengan puisi-puisi sebegini.

Satu lagi koleksi puisi yang aku suka ialah 'Puisi-puisi Rendra'. Aku memang tak nafikan puisi tulisan penyair Indonesia cukup puitis bahasanya dan mengungguli klasifikasi puisi hebat yang aku senaraikan. Macam puisi-puisi Chairil Anwar - koleksinya bertajuk 'AKU', sila tonton filem Ada Apa dengan Cinta"... Bila dibaca berkali-kali, ia semacam memberi satu rasa yang melengkapkan (completion) yang mengujakan.

Lama aku mencari dan menjejaki buku-buku puisi ini (di internet, toko-toko buku, pasar longgok, tepi-tepi jalan) tapi tak ketemu. Lalu semasa kunjungan ke perpustakaan mencari buku hikayat untuk tugasan kuliah bulan lalu, aku suka sekali bila terlihat sebuah buku ini - koleksi puisi tulisan Nawawee Mohammad bertajuk 'Sajak Seorang Aku' - di rak dan terus mencapainya. Ilustrasi muka depannya saja sudah menarik dan lama aku perhatikan tajuknya yang ditulis 'SAJAK SEORANG aku'.... menarik... aku rasa aku faham apa motifnya... kalian bagaimana?


Hampir seminggu sudah aku melepasi tempoh pulangnya kerana menghartakan buku ini disebabkan tak puas membaca. Aku tak suka menyalin fotokopi buku2 yang aku suka. Bagi aku salinan asal sesebuah buku sebenarnya punya aura yang tak boleh dipindah mahupun ditransisikan. Lalu aku berkeputusan nak membacanya lagi hingga puas hati sebelum dipulangkan.

Selepas aku baca dan teliti keseluruhan isi kandungannya, aku memilih tiga buah puisi ini sebagai puisi-puisi yang paling aku suka.


SAJAK YANG TIBA-TIBA MALAM


Tiba-tiba
tibalah malam dengan tiba-tiba
menghurai rambut hitamnya
di muka nasib anak maya
dan
dari tiba-tiba itu pun
tiba-tiba membunuh puas hati
si pemburu siang
sehingga puas hatinya
terpaksa ditangguhkan.

Tetapi tiba-tiba
dengan angkatan seluruh malam
adalah misteri si penyair
kerana kemalaman seumpama itu
anugerah agung dari segala maha
untuk seketika berehat
dan mentafsir diri pada gelap
sekalipun interpretasi itu
hanya dengan sebait sajak
sebelum tibanya esok.

1978


+ Perhatikan bahasanya... bait-bait kata tak perlu powerful dan bombastik, cukup dengan bersahaja, ringkas dan direct... +



ISTERI


Dalam dunia lelaki,
satu-satunya kepada perempuan.
Dalam dunia suami,
satu-satunya kepada isteri.
Dalam duniaku,
satu-satunya kepadamu.

Jika aku raja engkau seorang menteri.
Jika aku pohon engkau bunga dan daun.
Jika aku payung engkau bayang hari.
Jika aku hutan engkau pohon-pohon.
Jika aku jambatan engkau sungai mengalir.
Jika aku siang engkau mentari berkaca.
Jika aku malam engkau bulan purnama.
Jika aku meja engkau umpama kerusi.
Jika aku pembaca engkau sebuah buku.

Aku suami engkau isteri.

Jika engkau bunga aku tangkaimu.
Jika engkau burung aku sangkarmu.
Jika engkau mentari aku siangmu.
Jika engkau bulan aku malammu.
Jika engkau pohon aku tunjangmu.
Jika engkau hujan aku bumimu.
Jika engkau bintang aku langitmu.
Jika engkau ladang aku petanimu.
Jika engkau sungai aku muaramu.
Jika engkau sampan aku tasikmu.
Jika engkau permaisuri aku bagindamu.
Jika engkau pelangi aku hujan panas itu.

Berdua kita sebuah rumah.
Berdua kta sebuauh rumahtangga.

Isteri kadang kali api membakar.
Isteri kadang kali gelora ombak.
Isteri kadang kali banjir kilat.
Isteri kadang kali kereta rosak.
Isteri kadang kali sungai pekat.
Isteri kadang kali malam gelap.
Isteri kadang kali hari hujan.
Isteri kadang kali bulan gerhana.
Isteri kadang kali langit muram.
Isteri kadang kali kolam dalam.

Sekali-kali berdua kita bukan seperti;
malam dan siang
pagi dan petang
mentari dan bulan,
pasangan yang mustahil bersatu dan bertemu
sekalipun sebahagian keperluan alam dan manusia.

1984


+ Entah kenapa puisi ini cukup menyentuh naluri dan sanubari (ya.. aku masih punya jiwa seorang perempuan sebelum aku terlupa...) Walaupun aku belumlah bergelar isteri, tapi sebagai pelengkap jiwa, sajak ini begitu indah dan seimbang apresiasinya. Tidak memuja-muji terlalu, manis dan cantik... Kalau tiba masanya nanti, ada seseorang menuliskan sebuah puisi seperi ini khas untuk aku, alangkahnya.... =) +



TOLONG


Jika aku salah tolong betulkan.
Jika aku lemah tolong kuatkan.
Jika aku marah tolong sabarkan.
Jika aku rebah tolong bangunkan.
Jika aku pecah tolong satukan.
Jika aku susah tolong senangkan.
Jika aku sesat tolong tunjukkan.
Jika aku sakit tolong ubatkan.
Jika aku jahil tolong maklumkan.
Jika aku jatuh tolong angkatkan.
Jika aku putus tolong sambungkan.
Jika aku carik tolong jahitkan.
Jika aku tiris tolong sulapkan.
Jika aku panas tolong sejukkan.
Jika aku buruk tolong baikkan.
Jika aku cemar tolong cucikan.
Jika aku retak tolong paterikan.
Jika aku pergi tolong pulangkan.
Jika aku sunyi tolong temankan.
Jika aku habis tolong tambahkan.
Jika aku tidur tolong kejutkan.
Jika aku haram tolong halalkan.

Jika aku lupa tolong ingatkan.
Jika aku ragu tolong yakinkan.
Jika aku liar tolong jinakkan.
Jika aku duka tolong gembirakan.
Jika aku jauh tolong dekatkan.
Jika aku sepi tolong riuhkan.
Jika aku kiri tolong kanankan.
Jika aku lari tolong kembalikan.

Jika aku kurang tolong cukupkan.
Jika aku hilang tolong carikan.
Jika aku tembus tolong sumbikan.
Jika aku senget tolong imbangkan.

Jika aku khianat tolong amanahkan.
Jika aku tempang tolong pimpinkan.
Jika aku condong tolong tegakkan.

1984


+ Puisi ini paling lengkap dan padat. Aku suka merepresentasikan diri aku dalam puisi ini (ya.. semua orang juga boleh.. ia amat general...) Manusia takkan pernah sempurna dan puisi ini lengkap menyatakan semua kekurangan yang ada itu... Menarik bila penulis menyusun rangkap berasingan mengikut bilangan aksara tengahnya :-

* salah, lemah, marah.. - 5 aksara

* lupa, ragu, liar.. - 4 aksara

* kurang, hilang.. - 6 aksara

* etc...


kemas... +



Cukup dulu dengan tiga puisi ini... Nanti aku akan cuba cari buku-buku puisi menarik untuk dikongsi lagi... Erm...sesiapa yang tahu di mana ada jual buku-buku koleksi puisi yang aku sedang cari (yang aku sebutkan awal tadi), tolong beritahukan ya...!

+ Nak sambung menulis... dah lama tak menambah koleksi... =) +

2 comments:

w said...

sajak seorang aku.aku dah baca.material yg bagus aku kira.

mapieceofart said...

wahyudimy...
trimas atas komen... aduh... maaf tak perasan dan lewat terlihat... salam kenal... =)

Get a Cursor! ZingerBug.com - Comments, glitter graphics, cursors, and more!