February 11, 2010

Selepas Tayangan: Muallaf

Salam ukhuwwah fillah...





Setelah sekian lama menanti, akhirnya dapat juga saya menonton filem Muallaf. Semasa tayangannya di pawagam, saya tidak berkesempatan pergi menonton. Lalu, hasrat yang sudah lama terbuku itu tercapai-lah sudah. Terima kasih, FACT Film Screening Club kerana menunaikan hajat saya malam tadi.

Muallaf yang ditayangkan malam tadi adalah versi pertama yang dikeluarkan pada tahun 2007 iaitu tanpa tapisan dialog tak bersuara dan tanpa babak akhir menunjukkan Brian bersama ibunya. Disebabkan proses pengubahsuaian yang sedang dijalankan di dewan Pancha Delima, tayangan telah dijalankan di Bilik Seminar Kolej Puncak Perdana. Keadaan di situ amatlah tidak selesa, tempat duduk yang terhad dan paling mengecewakan, kondisi audio yang sangat buruk. Walaupun saya cuba untuk kurang mempedulikan masalah-masalah ini, ia terlalu jelas mengganggu suasana penontonan pada malam tadi.

Bagi saya, Muallaf mencapai tahap contentment tertinggi yang sukar saya jelaskan berbanding pengalaman menonton filem-filem arwah Yasmin Ahmad yang lain sebelum ini. Muallaf juga seolah-olah lambang pencarian yang panjang yang telah (atau hampir) berakhir dengan penemuan. Kesemua karya Mak (dalam kiraan saya bermula dengan Rabun) seperti satu pendakian. Dimulakan dengan merangkak, bertatih, pandai mengajuk dan mencuit-cuit, dan yang terakhir iaitu Muallaf, saya kira karya beliau sudah pandai menjerit, bersuara lantang dan menangis nyaring dalam sayu. Saya selalu percaya filem-filem yang bagus tidak semestinya menggalas isu yang berat-berat. Tapi ini berlainan dengan Muallaf.

Isu agama, Tuhan, kepercayaan (dan pastinya tak lupa, cinta dan kasih sayang) dibangkitkan. Kesemuanya menjadi tanggungjawab buat penonton menghadam, berfikir dan membuat konklusi mengikut fahaman masing-masing. Jadi, saya membuat kesimpulan bahawa sesetengah penonton yang mengaku dengan terus terang mereka tidak memahami Muallaf adalah golongan penonton yang tidak bertanggungjawab kerana malas berfikir (atau langsung tak mahu berfikir) lalu mengambil keputusan untuk tidak memahami. Tetapi saya hormat setiap pendapat, penilaian setiap orang adalah berbeza.

Pada penilaian saya, tiada apa yang terlalu tersirat dalam Muallaf. Ya, saya akui setiap perlakuan, dialog dan babak membawa maksud tersembunyi yang amat mendalam maksud setiap satunya. Pada mulanya saya juga sedikit keliru dengan nombor-nombor yang sering disebutkan Rohana. Tapi dengan perlahan-lahan saya faham yang disebutkan itu adalah surah-surah (dari Bible dan al-Quran). Semuanya jelas terpapar sepanjang cerita. Persoalan agama (Kristian dan Islam), perbezaan fahaman yang mendalangi pemikiran manusia dan diskriminasi yang wujud tanpa disedari dalam hati-hati manusia.

Kasih sayang yang amat mendalam antara Rohana dan Rohani dipaparkan dengan indah sekali. Kebencian menggunung di hati Brian terhadap agama dan keluarganya berakhir dengan kesedaran dan cinta. Pencarian dan kekeliruan terungkai mudah setelah ruang perubahan terbuka. Saya amat menyukai suasana melihat Rohani berkali-kali mengucup pipi dan dahi adiknya. Saya gemar melihat Brian yang akhirnya memutuskan untuk membuka hatinya (dari aspek cinta, kepercayaan dan kasih sayang terhadap keluarga yang cuba dinafikannya). Penggunaan perlambangan yang terlalu halus tak pernah lari dari setiap karya sentuhan Mak. Brian yang kedekut taik hidung masin hingga sanggup memandu kereta perlahan demi menjimatkan petrol, tiba-tiba pada pengakhiran cerita memecut keretanya dengan laju, memberi lambang pembaharuan dan penghijrahan.

Terlalu banyak perkara menarik yang ingin saya perkatakan tetapi kerana faktor emosi yang mengganggu, hanya ini yang dapat saya kongsikan. Saya terlalu tersentuh ketika babak Rohana dan Rohani berbaring di katil sebelum tidur. Pelbagai perkara mereka bualkan. Namun pada baris "I miss Mak" itu akhirnya buat saya tumpas juga.

Sesi Q&A bersama Syarifah Aleisha dan Arianna yang berlangsung selepas tayangan juga saya rasakan menarik. Dua adik beradik comel ini ternyata mengagumkan saya dengan gaya bersahaja mereka menjawab pertanyaan yang diajukan, cukup matang berbanding usia mereka yang masih muda.

Perasaan saya senang sekali, akhirnya dapat juga saya menonton Muallaf. Saya tak menangis ya tadi, saya cuba tahan, tapi ia keluar juga. Eh, jangan salah sangka tau, saya memang tak menangis tadi.

Only God knows how much I miss Mak...







6 comments:

Mohamad Hj Yawmon said...

aloohhh! tak dapat nak tengok! sedih! =(

mapieceofart said...

alaa... x dpt tgk lagi kamu nih... huhu... kena tunggu dvd keluar lah nampaknya... =)

. said...

Damn.. one day kena tengok

mapieceofart said...

you should've come masa the viewing lah, dude... it's truly a must-watch... highly recommended... later when the DVD are released, lemme know what you think about it...

. said...

Pinjam ar, boleh? XD

mapieceofart said...

i dont think dah ada keluar DVD kat pasaran skrg... nanti akan keluar jgk i guess, but you'd have to wait... huhu...

Get a Cursor! ZingerBug.com - Comments, glitter graphics, cursors, and more!