March 20, 2012

DEMI (Bahagian I)


(Nota: Ini adalah sebuah dokumentasi perjalanan yang pelik.)



“Bang, bas ni pergi PKNS ke?”

Pemandu bas mengangguk. Awak pun naik, bayar tambang seringgit dan duduk di kerusi kegemaran - kerusi paling depan sebelah kanan dekat pintu tengah bas.

Hujan turun tak berhenti dari tadi. Di pasar raya Giant, hujan dah tinggal berbaki renyai-renyai saja. Awak pun nekad meredah hujan, terlupa bawa payung bersama.

Awak menyeluk beg. Slip kiriman duit ke Jakarta itu dilihat semula. Awak senyum. Matlamat di Giant tercapai - beli buku dan uruskan hal kiriman pos. Syukur selesai satu bab. Sekarang tinggal menunggu barangnya sampai dan kerja awak selesai. Untuk permulaan. Tesis.

Bas menghampiri pusat bandar Shah Alam. Awak menekan loceng bas lalu ia berhenti di hadapan pejabat pos besar. Ada dua orang makcik turun bersama.

Awak mendongak melihat ke seberang sana. Kubah masjid biru kelihatan di kejauhan, destinasi dituju. Ya Allah… indahnya rumah-Mu… Entah kenapa jantung awak berdebar-debar, rasanya sama macam menjawab exam kertas Fizik SPM. Berdebar macam nak menempuh satu adventur, tapi awak sendiri tidak tahu adventur apa.

Bismillahirrahmanirrahim…

Hujan renyai-renyai mula berubah kasar. Awak menapak laju. Baju dan selendang sudah basah lencun. Tak kisah. Seronok, dah lama tak mandi hujan. Tapi harapan awak untuk meredah hujan terbantut kerana hujan turun makin lebat mencurah-curah.

Ya Allah… kuatkan semangatku, Ya Allah. Ini halangan kecil saja. Ini cuma halangan kecil untuk aku sampai ke rumah-Mu…

Lebatnya makin menggila. Awak tarik nafas, tenang. Awak lihat sekeliling. Di hadapan awak tersergam bangunan besar Wisma PKPS. Awak mempercepat langkah. Alahai, mana pulak pintu masuk bangunan ni?

Baru awak sedar awak berada di belakang bangunan. Awak pun tawaf keliling bangunan besar tersebut. Hujan makin lebat. Akhirnya awak memilih untuk berteduh sekejap di pintu masuk ke tempat parkir kenderaan bawah tanah wisma itu. Banyak kereta sedang keluar dari situ. Oh ya, sudah jam 5.00, tamat waktu pejabat.

Satu demi satu kereta melintas di hadapan awak. Tak ada seorang pun yang sudi berhenti dan bertanya awak yang basah kuyup ini datang dari mana. Jauh sekali menawarkan untuk tumpang naik kereta mewah mereka. Ah, rakyat Malaysia. Rasa prihatin dan ambil berat dibuang ke tong sampah.

Emosi sekejap.

Langit kelabu dilitupi awan. Tak ada tanda hujan akan berhenti sedikit masa lagi. Tapi sudah reda sedikit berbanding tadi. Sedikit.

Awak melihat jam lagi, waktu Asar sudah lebih sejam berlalu. Hujan masih renyai-renyai kasar, tapi awak redah juga. Awak mesti sampai ke sana. Tanpa naik teksi. Mahal. Awak memang kedekut alias penjimat.

Kenderaan pekerja-pekerja yang rata-ratanya makan gaji di pejabat penuh di atas jalan raya. Sibuk sungguh waktu ini. Ada ke bas Rapid lalu waktu ini ya? Awak berlari-lari hingga ke tangga lobi hotel Grand Blue Wave. Berteduh lima minit, tarik nafas dan sambung berlari ke perhentian bas. Baju awak bertambah lencun. Sejuk yang menikam jangan dikata. Awak peluk beg berisi buku erat-erat. Janganlah buku-buku ini basah terkena hujan. Huhu…

Akhirnya, sebuah bas Rapid muncul dari simpang jalan. Yes! Awak segera menahan bas tersebut.

“Bang, bas ni lalu depan masjid Shah Alam tak?”
“Masjid kat belakang ni aja, dik. Dah dekat dah, awak jalan sikit sampailah.”
“Ohh… tapi..."

Awak belum sempat menghabiskan ayat. Pemandu bas itu sudah menekan punat dan menutup pintu. Bas pun berlalu meninggalkan awak di situ. ‘Hampeh..!’ awak menyeranah dalam hati.

Memanglah dah dekat, tapi hujan tengah lebat ni. Macam mana nak menapak sampai sana. Jauh kot!

Awak hanya mampu membentak-bentak dalam hati. Tak ada siapa yang dengar. Nampaknya awak tiada pilihan lain, melainkan berjalan saja hingga tiba ke masjid.

Telefon awak berbunyi, isyarat dering mesej.

Satu buku RM20. Kalau beli tiga buku RM50. Nak beli tiga ke, satu?’ SMS tertera.
Satu saja. Untuk bacaan saya sendiri.’ SMS diketik balas.

Hati awak berbunga-bunga. Sebentar lagi awak akan dapat menyentuh buku yang awak lihat di blog kelmarin. Sukarnya mencari buku tentang topik itu. Di perpustakaan hanya ada satu dua. Lalu awak berkeputusan untuk memesan terus dari pengeluar.

Hujan masih turun membasahi bumi. Tapi awak tak peduli. Masjid biru gagah tersergam indah di hadapan awak. Hati rasa makin berdebar-debar. Entah kenapa. Awak berjalan melalui taman Islam di situ. Semuanya basah dan berlecak dek hujan yang turun. Namun pemandangannya masih cantik. Awak sempat singgah di Kedai Kopi di situ memesan teh ais buat penghilang dahaga.

Dari Kedai Kopi, awak menyusuri laluan menghampiri pagar masjid. Di mana pula pintu masuknya? Awak berjalan terus. Mungkin pintu pagar terletak di hujung sana. Awak tercari-cari. Ya Allah, setelah jauh aku berjalan, apakah pula yang Engkau cuba tunjukkan padaku kali ini?

Pencarian pintu pagar ini seolah-olah sama seperti pencarian tajuk tesis yang membuntukan itu. Awak seperti sudah tahu jawapannya, tetapi ia samar-samar semacam sedang berteka-teki pula. Awak ingat betul dulu awak pernah melalui jalan yang sama ini, sewaktu menyertai aktiviti bersama Persatuan Mahasiswa Hadhari empat tahun sudah. Tempoh empat tahun mengaburi ingatan awak pada tempat itu. Dan… iya, sudah empat tahun awak tidak menjejakkan kaki ke rumah suci Allah itu…

Duduk saja di Shah Alam, tapi jarang-jarang ke sana. Awak pernah-lah dua kali lagi ke sana selepas itu, berhenti solat. Tapi waktu itu naik kereta, terus sampai saja. Bukan jalan kaki seperti waktu ini.

Lama awak membebel-bebel dalam hati, akhirnya awak sampai di sebuah pintu pagar kecil, jalan masuk ke kawasan masjid. Di hadapan awak tersergam indah masjid biru yang luar biasa cantiknya.

Aku sudah sampai ke rumah-Mu, Ya Allah…! Allahuakbar…!

Dimulakan dengan langkah kanan, awak memijak satu persatu anak tangga kecil itu dan akhirnya meniti laluan berpokok menuju ke tangga masjid. Harum bunga cempaka menusuk hidung. Segar, dicampur bau udara selepas hujan. Rasa takjub melihat masjid besar itu terbawa-bawa seketika. Sempat awak rakamkan beberapa gambar pemandangan di situ. Awak menghampiri tangga masjid, menanggalkan selipar dan meletakkannya di rak kasut nombor lapan.

Beberapa gerai jualan memenuhi satu penjuru masjid. Ada gerai menjual pelbagai jenis kurma, baju, jubah, minuman kesihatan, telekung, macam-macam. Awak tidak berminat melihat-lihat barangan di situ. Kecuali gerai buku. Awak berhenti sebentar dan membelek-belek buku bertajuk ‘Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab Berkenaan Permasalahan Semasa’. Awak senyum. Buku itu awak letak semula setelah memastikan harganya sama seperti di MPH. Baru saja awak beli buku yang serupa di Giant tadi. Guna baucar buku hadiah dari kerajaan.

Awak berjalan-jalan di sekitar masjid mencari tempat wudhuk. Bukan main jauhnya, di hujung sekali baru berjumpa. Awak berwudhuk, kemudian naik ke ruang solat di tingkat dua melaksanakan empat rakaat Asar yang wajib serta solat sunat.




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Yang menguasai hari pembalasan.

Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan.

Tunjukilah kami jalan yang lurus.

Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.

Amin…

Selepas memberi salam, awak menadahkan tangan berdoa. Awak pejam mata. Hanya awak seorang saja di situ. Semua yang terlintas awak doakan, minta pada-Nya. Semua masalah awak adukan pada Dia. Semua yang awak resahkan, semua yang awak serabutkan, semua yang terjadi di rumah, di kampung, di kampus, di dalam benak kepala awak, semua diluahkan keluar. Zikir dan muhasabah sebentar.

Tunjukilah kami jalan yang lurus…

Entah kenapa hati awak jadi sayu bila menyebut ayat keenam itu, sebenar-benar rasa sayu. Semester akhir pengajian ini bukanlah sukar, tapi awak selalu rasa celaru, keliru. Kadang-kadang rasa sesat yang membuntukan. Air mata tak dapat ditahan memikirkan diri yang kerdil dan banyak berdosa. Ada sesuatu yang awak rasa meresap ke dalam, sesuatu yang susah diterangkan bagaimana rasanya, dan ia jarang-jarang sekali awak rasa. Kalau diceritakan secara literal, rasanya seperti setitis hujan jernih bercahaya jatuh dari langit, terus mengalir ke hati awak. Ia benar-benar satu pengalaman spiritual yang sejuk, nyaman dan mendamaikan. Awak sedar, Allah yang bawa awak hingga sampai ke sini. Allah yang beri awak rasa ini. Awak menangis sampai teresak-esak. Hati awak rasa gentar mengenangkan cinta Dia Maha Agung kepada awak yang hina dina.

Ya Allah…bantu aku untuk mencintai-Mu. Tunjukkan aku jalan-Mu. Permudahkan aku menyiapkan tesis, Ya Allah. Akhirkanlah enam tahunku di sini dengan penuh cemerlang, dengan redha-Mu, Ya Rabb…

Awak buka mata. Awak pandang sekeliling. Sebaris jemaah muslimat bertelekung putih sedang solat di sebelah awak. Kus semangat… Awak dah mula fikirkan yang bukan-bukan tadi. Ditambah dengan suasana yang suram sedikit di ruang solat itu. Teringat pada cerita-cerita yang pernah awak baca dalam Mastika masa dulu-dulu. Manalah tahu Allah nak bagi rezeki awak berjumpa dengan makhluk lain waktu itu, jin Islam atau orang bunian mungkin. Di dalam rumah Allah ini, semuanya mungkin.


bersambung...

No comments:

Get a Cursor! ZingerBug.com - Comments, glitter graphics, cursors, and more!