March 25, 2012

DEMI (Bahagian II)

sambungan dari Bahagian I


Awak capai al-Quran dan menyelak hingga Juzuk 16. Surah Maryam awak bacakan. Tak lama. Sempat dua tiga muka, azan Maghrib pun berkumandang. Awak bergegas menyertai saf.

Selesai Maghrib, ada bacaan Yaasin. Awak turut serta, kemudian sambung baca surah Maryam. Tepat jam 8.30, masuk waktu Isyak dan awak turut serta berjemaah.

Seronok, dah lama tak begini.

Seperti dijanjikan, selepas Isyak awak pun bertemu dengan wakil pengeluar buku itu di perkarangan masjid. Gembira tak terkira bila akhirnya buku yang awak idam-idamkan berada di tangan sendiri. Sempat berbual-bual sekejap dengan Encik Nasrul Muhaimin tentang isu yang dibicarakan di dalam buku itu. Selepas membayar harga buku, awak berjalan menuju ke luar masjid. Perancangan: Naik teksi ke Seksyen 2 dan berangkat pulang naik bas.

Jam 9.30 malam waktu itu. Satu teksi pun tak kelihatan. Pelik betul. Awak sabar lagi. Tunggu terus hingga jam 10.30 malam. Awak mula putus asa. Rasanya kalau awak sampai ke Seksyen 2 pun, bas terakhir untuk pulang dah terlepas. Perkara paling muktamad yang awak terfikir ketika itu ialah untuk call sesiapa dan ambil awak pergi dari situ. Pilihan yang paling awak tak suka - menyusahkan orang.

Soalnya, nak call siapa?

Panik bertukar cemas bila awak lihat di skrin, bateri telefon semakin nazak, sudah berkurang kepada bar yang terakhir. Awak cepat-cepat skrol nama rakan-rakan dalam direktori telefon. Awak berfikir banyak kali, siapa agaknya yang paling tak kisah untuk disusahkan waktu itu, dalam keadaan itu.

Akhirnya jumpa. Awak pun call. Tak dijawab. Tiga kali call dan SMS. Tiada jawab.

Ya Allah…apa pula ujian yang Kau beri untuk aku kali ini…

Jalan raya dah sunyi. Awak mula rasa cuak. Tapi bulatkan tekad. Awak masuk semula ke dalam masjid. Perancangan: Tidur di masjid dan balik lepas Subuh esok. Tahap nekad: Tawakkal. Mungkin ini yang telah Allah aturkan sejak awal lagi untuk awak. Pengalaman yang sumpah rare.

Masjid sudah gelap di semua sudut. Hanya ada beberapa lampu kecil dipasang. Awak naik perlahan-lahan ke ruang solat wanita di tingkat dua dan duduk di satu sudut. Awak berazam hendak membaca buku sampai terlena. Awak tanggalkan selendang dan baring. Lampu paling terang dalam masjid satu persatu dipadamkan. Okay, gelap gelita sudah.

Tiba-tiba awak rasa seram sejuk. Awak kembali memikirkan kemungkinan-kemungkinan peristiwa supernatural yang bukan-bukan. Cerita-cerita dalam Mastika menerawang ingatan.
Astaghfirullahal`azim… ini kan rumah Allah… awak pun membuang semua fikiran mengarut tadi. Saat seperti ini, bukan hantu yang awak takutkan. Manusia lebih menakutkan.

Awak berserah pada Allah, semoga awak dikurniakan keselamatan dan terpelihara dari perkara buruk.

Dalam kegelapan itu, ada cahaya terang menyuluh ke muka awak.

“Cik, tak boleh tidur sini.”

Dengg… seorang pengawal masjid berkulit gelap berdiri sambil terus menyuluh muka awak. Awak bingkas bangun. Pengawal itu datang menghampiri dan duduk dekat awak. Ahh sudah…

“Awak buat apa kat sini? Tak boleh tidur sini, cik.”

Awak terkedu. Nak jawab apa?

“Saya… duduk sekejap sementara tunggu orang ambil. Dia datang lewat sikit. Saya fikir baik saya tunggu sini. Rupanya tak boleh.”

Lelaki itu dah duduk bersila dekat dengan awak. Dalam gelap. Lampu suluhnya dipadamkan. Apakah motif dan perlunya bercakap dalam jarak dekat? Dengan keadaan awak tak bertudung begitu, apa tujuan dia datang hampir? Pengawal masjid pun gatal. Haihh… Awak segera capai selendang. Awak nekad kalau dia bertindak kurang sopan, awak siap menghayun kaki ke mukanya. Sungguh.

“Itulah…saya memang check supaya tak ada orang dalam masjid. Cik… nama siapa?”

“Saya turun sekarang. Encik turunlah dulu, tak elok encik dengan saya kat sini.”

Lama juga dia berdegil, bertanya itu ini. Dah kahwin ke belum, ada anak tak, kerja di mana. Awak buat bodoh saja. Akhirnya awak bangun dan tegas menyuruh pengawal itu turun dulu. Mujur dia tak bertindak di luar jangkaan. Alhamdulillah… Kau lindungi aku, Ya Allah…

Sedih sedikit waktu itu bila awak dihalau keluar. Rumah Allah sebegitu luas, langsung tak ada ruang untuk insan malang seperti awak tumpang berteduh. Mungkin atas faktor keselamatan harta benda, orang luar tak dibenarkan berada dalam kawasan masjid.

Awak mencari-cari jalan keluar, kemudian mencari rak kasut nombor lapan dan meredah gelap di kawasan parkir kereta menuju arah pintu pagar berhampiran jalan besar. Walaupun dalam gelap, di pintu pagar jelas awak lihat rantai dan mangga dikunci rapi. Jam tepat 1.00 pagi.

Ya Allah…! Bilakah pengakhirnya ujian-Mu untukku malam ini…???

Awak panik. Ironi sungguh. Terperangkap dalam rumah Allah dan tak jumpa jalan keluar. Masjid sebesar ini, ditambah gelap malam dan rasa bingung, buat awak rasa tersesat yang amat menyesatkan.

Telefon bimbit bergetar. Isyarat mesej.

‘Kau kat mana? Aku tunggu dekat pintu belakang.’ SMS itu berbunyi.

Hati awak rasa nak melompat. Akhirnya bantuan tiba! Bantuan dari Allah, melalui seorang sahabat baik.

Alhamdulillah…!

Awak menaip balas SMS tersebut, memberitahu yang awak sedang mencari jalan keluar. Sekali lagi, awak menghampiri perkarangan masjid semula. Ada dua orang muda yang bertugas malam di bilik kawalan. Mereka menunjukkan pintu pagar belakang yang tidak berkunci. Awak menangis semahunya sebaik saja melangkah keluar melepasi pagar tersebut. Mujur ada sahabat itu. Awak tak henti-henti lafazkan syukur dalam hati.

Perjalanan pulang malam itu terasa paling pendek, setelah awak melalui satu hari yang panjang dan meletihkan, meredah hujan lebat, tersesat dan terperangkap dalam masjid.

Demi sebuah tesis yang sungguh bermakna kajiannya buat awak, dan demi sebuah buku yang amat diperlukan untuk kajian tersebut, macam-macam cubaan telah awak tempuhi. Ini pengorbanan. Dan ini betul-betul pengalaman paling rare yang tak seronok untuk dikenang.

Semoga tak ada lagi pengalaman pelik seperti ini. Semoga jangan ada ulangnya lagi.

Fin.

2 comments:

Maisarah said...

if you become a famous author one day, I will be your #1 fan :)

mapieceofart said...

aww...babe, u make me cry... =')
thank you! *BIG hug*

Get a Cursor! ZingerBug.com - Comments, glitter graphics, cursors, and more!